Pada 7 Oktober yang lalu, seramai 20 orang murid diiringi 6 orang guru telah mengadakan aktiviti mendaki bukit sambil meneroka alam di Taman Astana Height, Batu 1 ½, Jalan Labuk Sandakan. Aktiviti ini diadakan bagi memenuhi masa murid-murid yang telah menduduki peperiksaan UPSR 2011.
Semua murid berjaya menghadirkan diri untuk lawatan tersebut. Seawal pukul 6.45 pagi, kehadiran murid mula diambil. Semua murid telah tiba di sekolah pada pukul 6.50 pagi. Guru penyelaras mengambil peluang memberikan sedikit taklimat mengenai lawatan tersebut. Pada pukul 6.55 pagi, murid-murid diagihkan sebotol air minuman dan sebungkus nasi kuning untuk diletakkan di dalam beg masing-masing.
Setelah itu, murid-murid bertolak menggunakan bas sewa pada pukul 7.05 pagi untuk ke destinasi. Setibanya di destinasi, murid-murid berbaris mengikut kumpulan dan setiap kumpulan diagihkan sekeping kertas manila dan sebatang pen marker untuk melukis dan melabel flora dan fauna yang mereka kenali di sepanjang penerokaan. Tepat pukul 7.30 pagi, murid-murid berpecah mengikut fasilitator mereka dan memulakan pendakian.
Pada pukul 8.45 pagi, rombongan berjaya tiba di stesen 1. Memandangkan kesesuaian tempat, sarapan pagi dijamah di stesen tersebut dan bukan di stesen 2. Seterusnya rombongan meneruskan pendakian pada pukul 9.00 pagi.
Perjalanan semakin mencabar selepas stesen 1 di mana rombongan terpaksa menaiki tangga yang curam. Namun murid-murid diawasi dengan ketat untuk mengelakkan sebarang kemalangan. Pada pukul 9.30 pagi, rombongan berjaya tiba di stesen 2. Pemandangan yang begitu indah menyebabkan murid-murid begitu khusyuk melihat. Ada beberapa murid mengambil kesempatan menangkap gambar untuk dijadikan kenangan. Selepas sepuluh minit berehat, rombongan bergerak turun ke stesen 1 dan membentangkan hasil dapatan mereka secara berkumpulan. Selesai sahaja pembentangan, rombongan bertolak menuruni bukit. Tepat pukul 10.00 pagi, rombongan telah berjaya menghabiskan pendakian dan terus bertolak pulang ke sekolah.
Dengan ini, dilaporkan lawatan berjalan dengan sangat lancar kerana semua ahli rombongan sangat bekerjasama dan berhemah. Tiada sebarang kecederaan atau pun kemalangan dilaporkan sepanjang pendakian. Semua murid dan guru sangat berseronok sepanjang pendakian dan talian silaturahim berjaya dipupuk di antara ahli-ahli rombongan.
Murid - murid sibuk mencatat sesuatu |
Pandangan alam yang mempesona |
Guru besar dan PK1 juga turut serta dalam lawatan ini |
Bergambar di puncak bukit berlatarbelakangkan pandangan laut yang membiru |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan