Khamis, 13 Oktober 2011

AKTIVITI (SMERP) SAINS TAHUN 2011

Pada 26 September 2011, satu aktiviti membina ‘Model Binaan’ telah diadakan dan ia berjalan selama 2 minggu, aktiviti ini diadakan pada masa P&P Sains di dalam kelas. 
Aktiviti ini berjaya dijalankan sebanyak 4 kali sepanjang tempoh 2 minggu tersebut. Pada slot yang pertama iaitu pada 26 September 2011, murid-murid dibahagi kepada kumpulan masing-masing dan mereka berbincang untuk menghasilkan pelan lakaran model yang ingin dibina. Semua kumpulan berjaya menghasilkan pelan mereka dengan berjaya sungguhpun terdapat satu kumpulan menunjukkan minat dan inisiatif yang agak kurang. Namun mereka berjaya melakar pelan tersebut selepas diberikan bimbingan.
Pada 27 September 2011, murid-murid mula membina model berdasarkan lakaran yang telah dibuat. Murid-murid disediakan lidi, tali, gunting dan gam untuk membina model tersebut. Ada beberapa kumpulan yang mengambil inisiatif membawa sendiri alatan seperti penyedut minuman, selotap, batang aiskrim, plastisin dan benang bagi mengkreatifkan lagi binaan mereka.
Murid-murid meneruskan pembinaan pada 03 Oktober 2011. Terdapat kumpulan yang telah mula membina tapak bagi model masing-masing menggunakan papan lapis yang lama dan kadbod-kadbod lama.
Pada 04 Oktober 2011, murid-murid menyiapkan bahagian-bahagian binaan yang tidak lengkap dan mewarna model masing-masing. Hasilnya, model binaan mereka begitu menarik. Terdapat 2 kumpulan membuat model orang menggunakan plastisin dan sebuah kumpulan yang melipat sampan daripada kertas untuk diletakkan di bawah model binaan mereka iaitu ‘Jambatan’. Ini menyerikan dan mengkreatifkan lagi hasil binaan selepas sentuhan warna  ke atas model tersebut. Maka itu, kumpulan ini telah muncul sebagai juara. Penyampaian hadiah dijalankan pada 06 Oktober 2011. Kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya juga diberikan hadiah galakan di atas usaha masing-masing.
Kehadiran beberapa orang murid kurang memuaskan sepanjang aktiviti berjalan namun aktiviti tetap berjalan lancar kerana adanya kerjasama antara ahli-ahli kumpulan yang lain. Sepanjang aktiviti berjalan, terdapat beberapa orang murid telah  menyerlahkan bakat-bakat terpendam masing-masing sungguhpun mereka terdiri daripada golongan yang  kurang aktif dari segi pembelajaran.  Dengan ini, dilaporkan bahawa aktiviti telah berjalan dengan lancar dan kerjasama pun dapat dipupuk.

LAWATAN SAINS (SMERP) 2011

Pada 7 Oktober yang lalu, seramai 20 orang murid diiringi 6 orang guru telah mengadakan aktiviti mendaki bukit sambil meneroka alam di Taman  Astana Height, Batu 1 ½, Jalan Labuk Sandakan. Aktiviti ini diadakan bagi memenuhi masa murid-murid yang telah menduduki peperiksaan UPSR 2011.

Semua murid berjaya menghadirkan diri untuk lawatan tersebut. Seawal pukul 6.45 pagi, kehadiran murid mula diambil. Semua murid telah tiba di sekolah pada pukul 6.50 pagi. Guru penyelaras mengambil peluang memberikan sedikit taklimat mengenai lawatan tersebut. Pada pukul 6.55 pagi, murid-murid diagihkan sebotol air minuman dan sebungkus nasi kuning untuk diletakkan di dalam beg masing-masing.

Setelah itu, murid-murid bertolak menggunakan bas sewa pada pukul 7.05 pagi untuk ke destinasi. Setibanya di destinasi, murid-murid berbaris mengikut kumpulan dan setiap kumpulan diagihkan sekeping kertas manila dan sebatang pen marker untuk melukis dan melabel flora dan fauna yang mereka kenali di sepanjang penerokaan. Tepat pukul 7.30 pagi, murid-murid berpecah mengikut fasilitator mereka dan memulakan pendakian.

Pada pukul 8.45 pagi, rombongan berjaya tiba di stesen 1. Memandangkan kesesuaian tempat, sarapan pagi dijamah di stesen tersebut dan bukan di stesen 2. Seterusnya rombongan meneruskan pendakian pada pukul 9.00 pagi.

Perjalanan semakin mencabar selepas stesen 1 di mana rombongan terpaksa menaiki tangga yang curam. Namun murid-murid diawasi dengan ketat untuk mengelakkan sebarang kemalangan. Pada pukul 9.30 pagi, rombongan berjaya tiba di stesen 2. Pemandangan yang begitu indah menyebabkan murid-murid begitu khusyuk melihat. Ada beberapa murid mengambil kesempatan menangkap gambar untuk dijadikan kenangan. Selepas sepuluh minit berehat, rombongan bergerak turun ke stesen 1 dan membentangkan hasil dapatan mereka secara berkumpulan. Selesai sahaja pembentangan, rombongan bertolak menuruni bukit. Tepat pukul 10.00 pagi, rombongan telah berjaya menghabiskan pendakian dan terus bertolak pulang ke sekolah.

Dengan ini, dilaporkan lawatan berjalan dengan sangat lancar kerana semua ahli rombongan sangat bekerjasama dan berhemah. Tiada sebarang kecederaan atau pun kemalangan dilaporkan sepanjang pendakian. Semua murid dan guru sangat berseronok sepanjang pendakian dan talian silaturahim berjaya dipupuk di antara ahli-ahli rombongan.


Murid - murid sibuk mencatat sesuatu
Pandangan alam yang mempesona
Guru besar dan PK1 juga turut serta dalam lawatan ini
Bergambar di puncak bukit berlatarbelakangkan pandangan laut yang  membiru





































PERTANDINGAN MEMBUAT ROJAK BUAH TAHUN 6 2011

Syukur alhamdulillah kerana pertandingan ini dapat dijalankan dengan jayanya. Pertandingan ini bermula pada jam 7.30 pagi dan tamat pada 9.30 pagi.
 Seramai 30 orang murid mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Murid telah diagihkan kepada 6 kumpulan dan setiap kumpulan seramai 5 orang. Tempat pertandingan ialah di dewan terbuka sekolah.
Buah-buahan yang digunakan semasa pertandingan ini ialah buah nanas,jambu,epal,sengkuang dan mangga. Para peserta telah menunjukkan kemahiran mereka dalam memotong dan mengupas buah dengan penuh minat sekali. Para pesrta juga diingatkan supaya menjaga kebersihan dan keselamatan disepanjang aktiviti berlangsung.
Kriteria yang digunakan untuk mencari pemenang ialah kemahiran memotong buah 40%, kebersihan 30% dan hiasan 30% . Johan bagi pertandingan ini ialah dari kumpulan 3 dengan markah 95 %. Naib johan pula dari kumpulan 1 dengan markah 92% manakala tempat ke 3 dengan markah 85% ialah kumpulan 2. Pemenang menerima hadiah berupa apron. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Guru Besar, Pn. Caroline Neubronner .
Diakhir aktiviti semua peserta menjamu selera dengan rojak yang telah disediakan oleh mereka sendiri. Diharapkan aktiviti ini dapat memberikan manfaat kepada murid untuk digunakan pada masa hadapan. Sekian.











Rabu, 12 Oktober 2011

PERTANDINGAN FUTSAL AKTIVITI SMERP TAHUN 2011

Pertandingan Futsal ini diadakan adalah untuk mengisi aktiviti selepas peperiksaan UPSR bagi murid – murid Tahun 6. Pertandingan ini disertai seramai 25 orang murid dan di bawah jagaan 4 orang staf SK St Mary Labuk iaitu Encik Perancis Chong, Encik Anuar Abdul Hamid, Cik Nor Mazila Junoh dan Cik Lizawati Husin. Seawal jam 7.30 pagi, murid – murid datang ke gelanggang Futsal dengan diiringi oleh guru – guru yang terlibat. Murid – murid telah dibahagi kepada 4 kumpulan dengan melalui cabutan undi iaitu kumpulan Quick Silver, Lion FC, White FC dan GNR FC. Setiap kumpulan mengandungi lebih kurang 7 orang pemain. Namun disebabkan di hari pertandingan, ada beberapa orang murid tidak dapat hadir. Maka ahli setiap kumpulan dikurangkan agar seimbang.
            Pertandingan Futsal ini dipertandingkan mengikut format liga, iaitu setiap kumpulan akan bersaing berdasarkan mata iaitu jika menang dapat 3 mata, seri 1 mata, dan kalah tiada mata akan diberi. Kumpulan yang mendapat mata tertinggi akan diisyhtihar sebagai pemenang dan seterusnya.
            Dalam pertandingan Futsal ini, Kumpulan Quick Silver telah menjadi juara, tempat kedua jatuh kepada Lion FC, sementara tempat ketiga ialah White FC dan keempat ialah GNR FC. Penyampaian Trofi telah disampaikan oleh Puan Guru Besar iaitu Puan Caroline Neubronner selepas pertandingan Futsal ini selesai.










LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...