Khamis, 13 Oktober 2011

AKTIVITI (SMERP) SAINS TAHUN 2011

Pada 26 September 2011, satu aktiviti membina ‘Model Binaan’ telah diadakan dan ia berjalan selama 2 minggu, aktiviti ini diadakan pada masa P&P Sains di dalam kelas. 
Aktiviti ini berjaya dijalankan sebanyak 4 kali sepanjang tempoh 2 minggu tersebut. Pada slot yang pertama iaitu pada 26 September 2011, murid-murid dibahagi kepada kumpulan masing-masing dan mereka berbincang untuk menghasilkan pelan lakaran model yang ingin dibina. Semua kumpulan berjaya menghasilkan pelan mereka dengan berjaya sungguhpun terdapat satu kumpulan menunjukkan minat dan inisiatif yang agak kurang. Namun mereka berjaya melakar pelan tersebut selepas diberikan bimbingan.
Pada 27 September 2011, murid-murid mula membina model berdasarkan lakaran yang telah dibuat. Murid-murid disediakan lidi, tali, gunting dan gam untuk membina model tersebut. Ada beberapa kumpulan yang mengambil inisiatif membawa sendiri alatan seperti penyedut minuman, selotap, batang aiskrim, plastisin dan benang bagi mengkreatifkan lagi binaan mereka.
Murid-murid meneruskan pembinaan pada 03 Oktober 2011. Terdapat kumpulan yang telah mula membina tapak bagi model masing-masing menggunakan papan lapis yang lama dan kadbod-kadbod lama.
Pada 04 Oktober 2011, murid-murid menyiapkan bahagian-bahagian binaan yang tidak lengkap dan mewarna model masing-masing. Hasilnya, model binaan mereka begitu menarik. Terdapat 2 kumpulan membuat model orang menggunakan plastisin dan sebuah kumpulan yang melipat sampan daripada kertas untuk diletakkan di bawah model binaan mereka iaitu ‘Jambatan’. Ini menyerikan dan mengkreatifkan lagi hasil binaan selepas sentuhan warna  ke atas model tersebut. Maka itu, kumpulan ini telah muncul sebagai juara. Penyampaian hadiah dijalankan pada 06 Oktober 2011. Kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya juga diberikan hadiah galakan di atas usaha masing-masing.
Kehadiran beberapa orang murid kurang memuaskan sepanjang aktiviti berjalan namun aktiviti tetap berjalan lancar kerana adanya kerjasama antara ahli-ahli kumpulan yang lain. Sepanjang aktiviti berjalan, terdapat beberapa orang murid telah  menyerlahkan bakat-bakat terpendam masing-masing sungguhpun mereka terdiri daripada golongan yang  kurang aktif dari segi pembelajaran.  Dengan ini, dilaporkan bahawa aktiviti telah berjalan dengan lancar dan kerjasama pun dapat dipupuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...